Sunday, 29 January 2012

Islam dan Ilmu Tauhid

Islam tidak pernah mengetepikan sains. Sains mengikut Encarta Encyclopedia bermaksud "Sains dalam skop yang luas bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh secara sistematik berdasarkan pengalaman deria yang dapat dibuktikan secara objektif."

Secara dasarnya, sains dapat di definisikan sebagai ilmu yang di hasilkan melalui cerapan (iaitu analisis dengan menggunakan pancaindera). Ia juga dapat di huraikan melalui fenomena tabii atau melibatkan penggunaan intelek di samping kaedah yang dapat diukur (quantitative). Sekiranya kita mengamati definisi-definisi ini, ia memang ditekankan oleh Islam berdasarkan dalil dan nas.

Ilmu sains melahirkan teknologi. Teknologi hanya dapat di martabatkan melalui sains. Namun ilmu sains bukanlah teknologi. Sebagai contoh, sains membicarakan mengenai proses pembentukan sel-sel tunggal menjadi seorang manusia yang sempurna dan dari itu lahirlah sebuah teknologi yang di peruntukan ke dalam bidang kejuruteraan genetik.

Islam juga memberikan kebebasan kepada para pengkaji (saintis) untuk mengkaji namun Allah menyedari keterbatasan intelek manusia dalam ilmu alam. Justeru, Islam menjadikan wahyu sebagai sumber rujukan yang tertinggi. Dalam erti kata lain, dalam Islam wahyu mengatasi akal manusia di dalam konteks pentafsiran alam semesta kerana wahyu datang dari kuasa tanpa batasan tetapi akal manusia terbatas pada ilmu yang hanya di kaji. Lantas, sains tidak dapat mengatasi wahyu. Apa-apa konklusi yang bercanggah dengan al-Quran di anggap salah dan apa-apa yang selari dengannya boleh di terima. Allah berfirman "al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini." (Surah al-Jathiyah 45: 20)

Konklusinya, sains dalam Islam adalah sains berkonsepkan tauhid. Sains dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip yang ditetapkan Allah melalui rasulnya. Sains dalam Islam tunduk kepada al-Quran.