Tuesday, 27 September 2011

Ayat di Alam Semesta

Salah satu perkataan ayat dalam bahasa Arab ialah tanda atau bukti. Justeru, selepas penguasaan ayat al-Quran, ayat kedua yang perlu dikuasai adalah ayat-ayat yang tersembunyi di alam semesta. Ayat-ayat ini adalah tanda serta bukti mengenai kekuasaan Allah yang tersembunyi di alam semesta. Bagi mencapai tujuan ini Islam perlu mengkaji alam ini secara sistematik. Seperti firman ini, "Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ia diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan." (Surah al-Ghasyiah 88: 17 hingga 20)

Pengkaji ayat al-Quran memerlukan akal yang tajam lagi kritis. Allah menyatakan, "Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir mengenainya?" (Surah al-Mukminun 23: 80)

Ilmu yang diperoleh daripada kajian-kajian ini mampu melahirkan pengagungan kepada Allah sekali gus meningkatkan pengabdian kepadanya. Justeru, golongan pengkaji dimuliakan Allah dan dia mengelar mereka sebagai ulul albab. Allah menyatakan, "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun duduk ataupun dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi kemudian berkata, 'Wahai Tuhan kami, kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka'." (Surah Ali Imran 3: 190 dan 191)

Ulul Albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna bagi mengkaji sehingga mamapu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul. Mereka mementingkan zikir dan fikir. Dalam konteks fikir, mereka suka mengkaji fenomena-fenomena yang berkaitan dengan kejadian alam. Pada hari ini para saintis yang bertaqwa kepada Allah dikategorikan sebagai golongan ulul albab.

No comments:

Post a Comment