Dalam kejelasan aqidah yang jazam, muktamad dan pasti, ada pula pendapat dan teori yang mengatakan bahawa al-Quran bukanlah kitab suci. Pendapat ini sekadar menilai al-Quran sebagai sebuah buku sastera yang tinggi bahasanya. Maka al-Quran tidak perlu dimuliakan, malah kemuliaannya hanya setaraf buku-buku yang lain.
Dakwaan bahawa al-Quran bukan kitab suci muncul hasil kajian beberapa orang tokoh yang masih dianggap Muslim. Malah ada dikisahkan peristiwa bagaimana seorang Muslim sanggup memijak sehelai kertas yang tertulis lafaz nama Allah. Ia satu pembuktian bahawa lafaz Allah tidak perlu dimuliakan, maka al-Quran juga tidak perlu dimuliakan.
Alangkah jahilnya kefahaman mereka tentang Islam dengan mengatakan bahawa al-Quran bukan kitab suci. Kalau dalam masyarakat agama lain, kitab-kitab agama mereka dianggap mulia dan suci. Dalam Kristian, Bible dianggap suci dengan disebut sebagai Holy Bible. Sudah tentu dalam agama Hindu, ada kitab agama yang dihukum dan dianggap sebagai kitab suci. Barangkali semua agama dan kepercayaan sekurang-kurangnya ada kitab suci. Namun ada pula seorang Muslim menolak al-Quran sebagai kitab suci.
Dalam firman Allah s.w.t, al-Quran yang diistilahkan dengan lafaz al-Kitab telah disebut dengan sifat-sifat yang mulia. Contohnya sebagai kitab yang diberkati. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan ini adalah kitab yang Kami turunkannya yang diberkati...." (Surah al-Nami 27: 29)
Al-Quran juga disebut dengan sifat al-Aziz iaitu mulia. Firman Allah s.w.t : "Dan sesungguhnya ia (al-Quran) ialah kitab yang mulia." (Surah Fussilat 41: 41)
Sifat-sifat yang dinisbahkan kepada al-Quran menggambarkan kemuliaan al-Quran. Al-Quran dianggap sebagai kitab suci kerana ia diwahyukan Allah s.w.t. Semestinya sesuatu yang yang dinisbahkan kepada Allah, ia dianggap mulia dan suci. Contohnya rumah Allah. Kesuciaannya menuntut agar ia dimuliakan dan dihormati. Bagi al-Quran, kesuciaannya dituntut agar ia dimuliakan, dihormati, dibaca, ditadabbur, dihayati dan diamalkan.
No comments:
Post a Comment