Ajaran Islam yang sempurna memerlukan sumber yang autentik. Secara dasarnya sumber ini dikenali sebagai al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana dijelaskan oleh nabi yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya (iaitu) Kitab Allah dan sunnahku." Hadis ini direkodkan oleh al-Hakim dan Ibn Abdul Barr daripada Abdullah bin Omar dan direkodkan oleh al-Baihaqi daripada Abu Hurairah r.a.
Kedua-dua sumber ini melahirkan peta Islam yang dipenuhi pelbagai jalan yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Jalan-jalan ini dikenali sebagai syariat atau peraturan. Ia wajib dilalui dan diikuti oleh kesemua umat Islam. Berhubung dengan ini Allah menjelaskan: "Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (peraturan) daripada urusan agama, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. (Surah al-Jathiyah 45: 18)
Apabila syariat ini dipatuhi, umat Islam akan mencapai hasanah atau kejayaan di dunia dan juga hasanah di akhirat. Sebaliknya sekiranya umat berpaling daripadanya, mereka akan mendapat kecelakaan daripada segenap sudut kehidupan. Allah berfirman: "Jika datang kepadamu petunjuk dariKu (Allah), sesiapa yang mengikuti petunjukku dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Sesiapa yang berpaling daripada peringatanku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta." (Surah Taha 20: 123 dan 124)
No comments:
Post a Comment