Sunday, 15 May 2011

Islam Adalah Cara Hidup yang Komprehensif

Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif. Konsep kesempurnaan ini dikenali sebagai syumuliyah dalam Islam. Allah berfirman: "Pada hari ini aku sempurnakan agamamu untuk kamu dan aku sempurnakan nikmatku ke atas kamu dan aku redha Islam menjadi agamamu." (Surah al-Maidah 5: 3)

Berhubung dengan perkara ini, Imam Ibn kathir dalam Tafsir al-Quran Al-Azim berkata, "Ini adalah nikmat paling agung yang dikurniakan Allah kepada umat ini. Apabila Allah menyempurnakan agama ini, umat Islam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan nabi lain (selepas Nabi Muhammad)."

Bagi memperincikan lagi konsep ini, dalam Usul 20 Imam Hasan al-Banna berkata, "Ajaran Islam adalah menyeluruh mencakupi kesemua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat. Ia  adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Ia juga adalah pengetahuan dan undang-undang ataupun ilmu dan kehakiman. Islam juga menekan aspek kebendaan dan harta ataupun usaha dan kekayaan, Di samping itu Islam mementingkan jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadah yang sah."

Oleh sebab Islam sudah lengkap dan sempurna ia tidak menerima sebarang campur aduk dengan sebarang ideologi dan falsafah. Inilah yang Allah maksudkan dalam perintahnya yang bermaksud: "Jangan kamu campuradukkan yang hak dengan yang bathil dan jangan kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mangetahui." (Surah al-Baqarah 2: 42)

Berhubung dengan ini, Imam Qatadah menegaskan, "Janganlah kamu campuradukkan ajaran Islam dengan ajaran Yahudi dan Nasrani sedangkan kamu mengatahui agama yang diterima Allah hanyalah agama Islam." Hal ini disebutkan dalam al-Asas fi al-Tafsir.

No comments:

Post a Comment