Malah lebih daripada itu, Allah memuliakan golongan yang suka menkaji alam dan menggelar mereka sebagai ulul albab. Allah menyatakan: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun duduk ataupun dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi kemudian berkata, 'Wahai Tuhan kami, kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci engkau, maka periharalah kami daripada seksa neraka'." (Suran al-Imran 3: 190 dan 191) Ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji sehingga mampu meletakkan segala yang perspektifnya betul.
Rangsangan dalam ayat-ayat ini yang seumpamanya telah melahirkan ramai saintis daripada kalangan umat Islam. Malah sains moden tidak akan berkembang tanpa saintis beragama Islam ini. Berhubung dengan ini, Philip K.Hitti di dalam buku History of the Arab berkata, "Orang Islam Sepanyol mengukir sejarah intelektual yang gilang-gemilang di zaman pertengahan Eropah. Antara abad ke-8 dan ke-13, golongan ini membawa obor budaya dan tamadun ke seluruh dunia. Inilah sebenarnya yang menjadi pemangkin kepada arus kemodenan di Eropah.
Pengkaji sains dalam Islam ada matlamatnya. Matlamat itu adalah mengagungkan Allah serta meningkatkan pengabdian kepadanya. Inilah yang dimaksudkan oleh Imam Ibn Kathir semasa beliau berkata di dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim, "Sebahagian ulama berpendapat, sesiapa yang mengamati langit yang luas dengan bintang-bintang, bulan dan matahari beredar di paksinya tanpa henti, kemudian memerhatikan lautan yang mengelilingi daratan, kemudian memerhatikan sungai yang mengalir di samping pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan, akan memperoleh bukti mengenai kewujudan Tuhan yang maha pencipta lagi maha agung dan maha bijaksana.
Sains dalam Islam berbeza dengan konsep yang diamalkan di barat. Saintis di barat memisahkan sains daripada Tuhan. Sebagai contoh di Amerika, para saintis daripada Akademi Sains Kebangsaan (The U.S National Academy of Sciences) memutuskan: "Sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diiktiraf sebagai sains." Hal ini dinyatakan di dalam Sciences and Creationism: A view from the National Academy of Sciences, edisi ke-2 terbitan National Academy of Sciences pada tahun 1999.
Senario ini menyedarkan saya berkenaan keperluan menghasilkan blog ni bertujuan meletakkan sains di atas landasan yang betul bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah. Bagi saya, sains bukanlah agama. Ia hanyalah alat yang sepatutnya tunduk mengikut kehendak agama. Ia tidak sepatutnya digunakan, sebagai contoh, bagi mengenal pasti kebaikan arak selepas agama mengharamkannya. Sebaliknya adalah lebih wajar sekiranya ia digunakan untuk mengenal pasti dan mengkaji rahsia-rahsia di sebalik pengharaman arak. Pendek kata, sains tidak boleh digunakan untuk mengubah prinsip-prinsip serta ketepatan-ketepatan agama yang bersumberkan dalil yang disepakati, sebaliknya ia digunakan bagi mengukuhkan agama.
Suis Hijau yang benar-benar merangsang saya bagi menghasilkan blog ini adalah berdasarkan fiman Allah: "Akan kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar." (Surah Fussilat 41: 53)
Bagi saya ayat ini mengisyaratkan penemuan-penemuan sains masa kini tanpa menampakkan rasa ragu lagi isyarat kebenaran al-Quran. Memang benar, al-Quran menyatakan bahawa lebih daripada 1400 tahun dahulu bahawa langit dan bumi bercantum sebelum ia dipisahkan dalam bentuk yang kita lihat sekarang ini. Dengan lahirnya teori Big Bang pada abad ke-20, terbuktilah kebenaran kenyataan ini.
Al-Quran juga menyatakan langit dan bumi lahir daripada asap atau dukhan. Saintis baru-baru ini mengesahkan bahawa bumi serta objek-objek di langit lahir daripada gumpalan asap raksasa yang didominasi oleh gas hidrogen dan helium.
Tambahan pula, al-Quran juga menyatakan bahawa antara langit dan bumi wujud ruang yang memisah antara kedua-duanya. Penemuan intersellar dan dark matter baru-baru ini mengesahkan kebenaran ini.
Justeru blog ini diilhamkan bagi menunjukkan betapa besar dan hebatnya keagungan al-Quran. Ia tidak ditulis bagi mengagungkan sains. Cuma dalam usaha mengagungkan al-Quran saya memanfaatkan sains, dalam batas-batas yang diizinkan. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk mengolah serta mentafsir rahsia-rahsia yang tersirat di sebalik kehebatan al-Quran berkenaan teori sains dan teknologi. Blog ini banyak menfokuskan kepada isu asal usul kejadian alam, asal usul kejadian insan dan tujuan hidup insan.
Semoga iman kita melonjak dan bergemerlapan selepas membaca blog ini. Itulah sebenarnya tujuan blog ini diciptakan. Semoga Allah merahmati dan melindungi kita dari diracuni cara pemikiran barat =)
No comments:
Post a Comment